Friday 23 December 2016

Nasihat Buat Penuntut Ilmu -Ustaz Kamilin Jamilin-

10 Nasihat Buat Penuntut BARU Pengajian Islam:


1. Ikhlas dalam menimba ilmu semata-mata mengharapkan ganjaran Allah dan mengatasi kejahilan diri…Sentiasalah berdoa pada Yang Maha Mengetahui dan pemilik segala ilmu supaya dikurniakan niat yang ikhlas, ilmu yang bermanfaat, dan dipandu ke jalan yang benar…Jauhi dari keinginan mengecapi ilmu demi habuan dunia, kemahsyuran, perdebatan, dan pertelingkahan…Melihatkan kepada kepentingan niat yang betul dalam bab ilmu, imam al-Bukhariy dan tokoh-tokoh hadith selainnya meletakkan hadith “niat” sebagai pembuka hadith-hadith dalam karya mereka…



2. Hindari dari “terjun menyelam” bersama isu/permasalahan yang menjadi perselisihan serius di kalangan ulama’, bahkan masyarakat sekeliling…Hal tersebut hanya akan membuatkan penuntut yang masih baru dan tiada asas kukuh atau manhaj yang lurus dalam disiplin-disiplin ilmu Islam menjadi keliru, taksub, kata mengata, sekaligus cenderung kepada sikap memecah belahkan masyarakat…Sebaiknya dia menekuni terlebih dahulu suatu kitab utama dalam satu cabang disiplin utama dan seterusnya berkembang mengikut perkembangan pengetahuannya sehinggalah kejahilannya dalam pelbagai disiplin dapat diatasi…Pada masa yang sama mindanya perlu sentiasa dibuka dan bersedia menerima sebarang kesilapan…



3. Utamakan cabang-cabang ilmu agama mengikut kepentingannya…Jika berkesempatan, tekuni asas-asas ilmu agama seperti: Bahasa Arab, al-Quran, Hadith, Aqidah, Fiqh…Jika tidak, pilihlah yang mana dilihat memenuhi keinginan dan kepuasannya yang mampu menjadi tunjang baginya untuk menekuni ilmu-ilmu lain kelak…



4. Pilihlah pembimbing yang diyakini akhlak dan keilmuannya…Hindari dari guru yang gemar menukilkan pelbagai perselisihan dalam suatu masalah atau gemar mencantas pihak sana sini tanpa membantu pelajar membina prinsip asas, kerana bak kata al-Ghazaliy: “Mudaratnya lebih besar dari manfaatnya”…Kesilapan memilih pembimbing pada peringkat awal akan membantutkan jalan seorang penuntut ilmu untuk menjadi ilmuwan yang baik…



5. Elakkan dari mentelaah pelbagai jenis kitab yang tidak diketahui metod dan objektif penulisnya, kerana perkara tersebut hanya akan membuatkan fikiran dan manhajnya bercelaru serta banyak membuang masa kerana tidak membantu pengukuhan asas ilmunya…Ketidaktentuan dalam membuat rujukan tanda kegagalan…Tidak dinafikan pembacaan yang luas tanda kejayaan, namun ia perlu dilakukan secara cerdik supaya mencapai kualiti pada tahap kuantiti yang diambil…



6. Jauhi diri dari terlibat dengan amalan “tikam menikam”, saling meremeh keperibadian dan keilmuan sebarang ilmuwan atau para muslimin umumnya, sekalipun terhadap pihak yang tidak sependapat dengannya atau diragui keilmuannya…Perkara tersebut hanya akan mencampakkan dirinya dalam lubuk kebencian yang tidak membantu pengukuhan asas ilmunya, malah hanya akan membina sikap taksub yang melampau, dan akhlak yang keji…Biarkan urusan kritikan sebegitu pada ahli ilmu yang lebih berkelayakan…



7. Sabar dan konsisten dalam proses menuntut ilmu…Sesungguhnya ilmu itu berharga, dan apa yang berharga itu bukan mudah dimiliki…Tiada sebarang ilmu yang berhasil dimahiri dengan masa yang singkat…Kesemua ilmuwan-ilmuwan ulung terdahulu menimba ilmu sepanjang hayatnya walaupun telah bergelar ulama’…Imam Ahmad bin Hanbal pernah dilihat memegang pen ke sana ke mari mencatit ilmu, lalu seseorang bertanya kepadanya: “Apa lagi yang kamu tulis tu sedangkan kamu telah mencapai tahap seperti ini?”, jawab Ahmad: “Dari dakwat hingga ke kubur” yang bermaksud beliau sentiasa akan menimba ilmu walau setinggi manapun ilmu yang telah dimilikinya sehinggalah ke akhir hayatnya…



8. Tidak terlalu bergantung pada pembimbing atau pihak lain semata-mata dalam pencarian ilmu dan jawapan…Malah dia sendiri sebagai penuntut ilmu perlu berusaha mencari, memahami, berfikir…Sebarang kemusykilan yang spesifik barulah ditanya atau dirujuk pada mereka yang lebih mengetahui supaya dapat membimbingnya dari tersimpang…Sikap terlalu bergantung pada jawapan pihak lain semata-mata hanya akan membina sikap malas, malah melemaukan kecerdasan mindanya sebagaipenuntut ilmu…Sangat penting untuk penuntut ilmu membiasakan diri dengan dunia kajian, analisis, supaya mindanya lebih kritis, walaupun sudah pastinya pada peringkat awal berlakunya banyak kelemahan dan kelompongan…

9. Jika perlu bertanya, maka hindarilah dari bertanya perkara-perkara yang tidak berkenaan, atau tidak memberi sebarang manfaat, atau pertanyaan yang tidak baik tujuannya, dikhuatiri termasuk dalam hadith al-Mughirah bin Syu’bah dari riwayat al-Bukhariy: “Allah membenci pada kalian tiga perkara: Qil wa qal, banyak bertanya, pembaziran harta”…

10. Yang paling utama, raikan adab dalam proses penimbaan ilmu sama ada pada guru, rakan-rakan, dan masyarakat…Menimba adab itu lebih utama dari menimba ilmu, kerana tiada gunanya menjadi insan berilmu jika tiada adab, akhlak dan etika, ianya hanya mengundang kebencian serta menimbulkan kemusnahan, namun orang yang berakhlak walaupun tanpa ilmu tetap akan disenangi dan tidak menimbulkan kerosakan…Kerana itu Ibn Sirin berkata: “Mereka (para ilmuwan terdahulu) mempelajari petunjuk (adab) sebelum mempelajari ilmu”, dan Ibn al-Mubarak pula berkata: “Kami mempelajari adab selama 30 tahun, dan kami mempelajari ilmu pula sekadar 20 tahun”…

No comments: